27
Sel, Okt

TIADA SEBARANG PROSES PENGISLAMAN SEPERTI DIGEMBAR-GEMBUR PEMBANGKANG

Sarawak
Typography

MIRI – Tiada sebarang proses pengislaman pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Sabrina Ngumbang.

Sebaliknya, dia masih seorang penganut agama Kristian, demikian menurut Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah.

“Melihatkan kepada isu itu sebenarnya Sabrina masih di bawah umur untuk membuat sebarang keputusan.

“Dia masih di bawah umur untuk membuat sebarang keputusan walaupun menyatakan minat untuk memeluk Islam kepada gurunya,” katanya.

Semalam, isu Sabrina ini telah mendapat perhatian yang meluas berikutan tindakan segelintir pihak yang mengambil peluang dengan menyebarluaskan isu ini di media sosial dengan maklumat yang tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran ramai pihak.

Akibat daripada insiden itu, Fatimah telah mengadakan pertemuan dengan Sabrina, keluarganya, pihak gereja, guru dan Pengetua SMK Lutong, Marcus Hugo bagi meredakan keadaan sekali gus menyelesaikan pertikaian ini pada petang semalam.

Mengikut maklumat Jabatan Agam Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, tiada sebarang maklumat mahupun cubaan untuk proses pengislaman Sabrina seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial.

Menerusi pertemuan sebegini diharap isu ini akan dapat diselesaikan segera bagi mengelak sebarang salah faham yang boleh menyebabkan keharmonian kaum dan agama di Sarawak.

“Isu ini tamat di rumah dan ada bantahan daripada pihak gereja. Proses tidak diterus dan Sabrina masih penganut agama Kristian yang sah,” jelas beliau dengan penuh pengharapan.

Isu pengislaman Sabrina ini timbul apabila pada 12 Mac lalu, Sabrina yang ditemani salah seorang kawan telah menemui cikgu Nik Seri Ayu Nik Ibrahim dan menyatakan minat untuk memeluk agama Islam.

Cikgu Nik telah meminta pandangan Cikgu Suti Kamila Md Zain berhubung perkara itu dan terus menemui pelajar tersebut untuk bertanya mengenai niat Sabrina.

Fatimah berkata, kesalahan kedua-dua cikgu berkenaan ialah tidak merujuk kepada ibu bapa Sabrina sebagai penjaga sah dan masih di bawah umur. “Walaupun dia sendiri menyatakan minat memeluk Islam, tetapi masih bawah 18 tahun, ibu bapa sebagai penjaga sah berhak untuk dirujuk,” tegas Fatimah lagi. Rentetan daripada peristiwa itu, ibu bapa Sabrina melaporkan kes tersebut kepada polis pada petang kelmarin. Setelah semua pihak terlibat bersemuka dan berbincang, Fatimah berkata, kes itu harus dijadikan iktibar kepada guru terutamanya mengenai hak pelajar bawah umur.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.