03
Kha, Dis

MENTERI SARAWAK PERTAHAN NAJIB KERANA JAGA KEBAJIKAN SARAWAK DAN SABAH

Sarawak
Typography

KUCHING – Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung ‘kecaman’ bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung rakyat Sarawak tidak menyokong kepimpinan Najib Razak ketika ini.

Menurut James Masing, setakat ini apa yang diketahui Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di Sarawak disebabkan Najib membela kebajikan mereka yang mengundi BN, merujuk kepada sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

Sebaliknya, kenyataan Tun Dr Mahathir itu bahawa rakyat Sarawak tidak percayakan Najib adalah tidak benar.

Tun Dr Mahathir dalam blog popularnya chedet.cc, menjangkakan kekalahan BN dalam PRU akan datang sekiranya Najib masih berkuasa.

Di Sarawak, keadaannya sangat berbeza dan rakyat Sarawak yang berjumlah kira-kira 2 juta orang dilihat sangat serasi dengan kepimpinan yang ditunjukkan Najib sepanjang menjawat jawatan Perdana Menteri. Menurut James Masing, tidak seperti 5 Perdana Menteri sebelumnya, termasuk Tun Dr Mahathir sendiri yang lebih mementingkan pembangunan di Semenanjung seperti mana dalam polisinya. Sebaliknya, sepanjang pemerintahan Najib, beliau telah menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Daripada 5 Perdana Menteri sejak 1963, hanya Najib seorang sahaja yang betul-betul prihatin dengan kebajikan dan keperluan rakyat Sabah dan Sarawak,

“Beliau mengiktiraf 16 September, tarikh yang dekat dengan rakyat Sabah dan Sarawak sebagai Hari Malaysia, 50 tahun selepas kemerdekaan, malah turut memperuntukkan dana untuk pembangunan Lebuhraya Pan Borneo sementara 4 Perdana Menteri sebelum ini, termasuk Dr Mahathir sendiri, tidak kisah langsung.”

Masing turut berkata, di bawah Perdana Menteri sebelum ini, “lebuh raya di Semenanjung dibina dari Utara ke Selatan, Timur ke Barat dan merata tempat.”

Beliau berkata, hasil pandangan sempit Perdana Menteri terdahulu terhadap Malaysia sebelum ini, “kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak tidak diendahkan.”

Berbeza dengan keadaan masa kini apabila Najib Razak mengambil banyak masa untuk melawat dan memperuntukkan dana bagi membangunkan Sabah dan Sarawak.

“Beliau lakukannya ini kerana faham yang Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian penting Malaysia dan sewajarnya harus mendapat manfaat yang serupa seperti mana negeri-negeri di Semenanjung.

“Tanpa 2 negeri ini, tiadalah Malaysia", tegasnya lagi.

Masing berkata beliau yakin BN di bawah kepimpinan Najib akan terus mentadbir Malaysia selepas PRU14 pada 2018.

“Bagaimanapun, lebih mudah sekiranya UMNO kekal bersatu padu, kerana parti yang bercelaru susah untuk dipertahankan,” katanya.

Dengan keprihatinan Najib bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) haji Adenan bin Haji Satem dalam terus membangunkan Sarawak, BN tiada masalah untuk terus kekal memerintah Sarawak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.