03
Kha, Dis

PENGGUNA PERLU SEMAK RESIT DAN ID GST BAGI PASTIKAN PENIAGA MELAKSANAKAN GST

Sarawak
Typography

KUCHING – Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April lepas telah membuatkan situasi kelam kabut di kalangan peniaga dan pengguna yang berasa keliru dengan pelaksanaannya.

Malah, ada peniaga yang tidak mendaftar GST, tetapi mengenakan GST dalam setiap urusniaganya sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan pengguna.

Penolong Kanan Pengarah Kastam Negeri, Noelle Lily Morse telah meminta orang ramai khususnya pengguna agar sentiasa peka dengan hak mereka dengan meminta resit setiap kali selepas urusniaga.

“Bagi mengelak daripada tertipu pelanggan atau pembeli dinasihat untuk meminta dan menyemak resit pembelian daripada penjual yang seharusnya tertera caj tambahan GST sebanyak 6%, selain nombor pengenalan (ID) GST sebagai bukti kutipan dan pendaftaran kedai.

Ini kerana katanya, ada aduan daripada orang ramai bahawa peniaga mengeluarkan resit pembelian yang tidak sah dan tanpa nombor pengenalan tetapi mengenakan GST.

Jika ini berlaku, orang ramai digesa terus menghubungi Bilik Gerakan Kastam Cawangan Kuching menerusi talian 082-472144 atau 472155.

“ID ini sangat penting kerana ia adalah kuasa mengutip GST bagi setiap kedai yang telah berdaftar untuk mengutip sistem cukai itu,” jelasnya.

Selepas pelaksanaan GST, aduan mengenai kenaikan kad isian semula prabayar dengan dikenakan GST menjadi topik utama pada 1 April.

Malah, tindakan segelintir peniaga kad isian semula prabayar yang mogok dan tidak menjualnya kepada pengguna telah menyebabkan berlakunya kesukaran orang ramai.