03
Kha, Dis

GST: AKIBAT KEKELIRUAN PENIAGA TIDAK JUAL KAD ISIAN SEMULA PRABAYAR

Sarawak
Typography

KUCHING - Disebabkan kekeliruan berhubung caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas penjualan kad isian semula prabayar, beberapa peniaga di sekitar bandar raya ini telah mengambil keputusan untuk tidak menjual kad itu buat sementara waktu.

Tinjauan semalam mendapati, para peniaga terbabit mengambil keputusan sedemikian kerana khuatir menjual kad prabayar itu dengan harga yang salah dari segi undang-undang ekoran pelaksanaan GST dan kesalahan itu nanti akan terletak di bahu mereka.

“Hari ini (semalam) kami berhenti untuk menjual kad isian semula prabayar buat sementara waktu kerana masih keliru mahu jual pada harga berapa.

“Saya masih tidak faham apa kemahuan kerajaan. Ini kerana jual dengan harga ini salah, harga itu salah. Jadi sebaiknya saya tidak jual dahulu dan biarlah ada keputusan,” kata peniaga yang enggan disiarkan namanya.

Jika peniaga menjual kad isian semula itu pada harga seperti yang dinyatakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), mereka tidak memperoleh sebarang keuntungan, malah rugi kerana syarikat telekomunikasi menjual kad prabayar bernilai RM10 dengan harga RM10.30 kepada mereka.

“Macam mana mahu untung? Syarikat telekomunikasi jual kad isian semula prabayar pada kami RM10.30, saya hanya ambil RM0.30 sebagai untung dengan menjual kad isian semula itu pada harga RM10.60. Sekarang, kalau mahu jual RM10, kami telah rugi RM0.30,” tambahnya dalam nada kesal dengan kekeliruan yang timbul akibat GST.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata kecelaruan itu wajar diatasi segera oleh syarikat telekomunikasi dan Kastam.

Beliau yang hanya ingin dikenali dengan nama Azli berkata, peniaga tidak mahu dituduh sengaja memanipulasi pelaksanaan GST hanya kerana mahu mengaut keuntungan peribadi.

“Kami sebenarnya berada di kedudukan tengah-tengah sebab syarikat telekomunikasi kata begini, manakala Kastam pula lain penjelasannya,” ujar beliau.

Ketika diminta mengulas mengenai larangan menjual kad prabayar itu dengan caj tambahan 6%, jelas seorang penjaga kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Shamsul, mereka belum menerima sebarang arahan daripada pemilik kedai agar menghentikan jualan kad isian semula prabayar.

“Saya hanya menurut arahan bos. Kalau dia bagi arahan untuk menjual dengan harga RM10, saya akan berbuat demikian dan kalau dia suruh saya jangan jual lagi, juga saya akan berhenti menjualnya dan setakat ini (tengah hari semalam), saya belum menerima apa-apa arahan lagi,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Penolong Kanan Pengarah Kastam Negeri, Noelle Lily Morse ketika dihubungi, syarikat-syarikat penyedia telekomunikasi mahupun peniaga kad isian semula prabayar di bandar raya ini agar berurusan secara terus dengan Kastam bagi ‘membersihkan’ kekeliruan berhubung mekanisme sistem GST.

Menurutnya, tidak wujud kekeliruan mengenai pelaksanaan GST ke atas kad isian semula prabayar kerana ia telah dijelaskan sebelum ini dan harga jualan kad prabayar itu sememangnya telah merangkumi kadar enam peratus (6%) GST.

Jelas Noelle lagi tindakan menaikkan harga kad isian semula prabayar dianggap satu kesalahan berat dan pelaku yang ditangkap berbuat demikian boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali seperti tertakluk di bawah Seksyen 96, Akta GST 2014.