03
Kha, Dis

MEDIA BERPERANAN PENTING SEBAR MAKLUMAT MENGENAI GST

Sarawak
Typography

SIBU – Selepas menyaksikan beberapa insiden dan kekeliruan di kalangan rakyat khususnya masyarakat di luar bandar tentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kini sudah tiba masanya peranan media sangat diperlukan bagi mengatasi permasalahan ini.

Bekas ketua masyarakat Enyang Menchol menyifatkan media seperti radio dan surat khabar perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan barang-barang yang dikenakan GST untuk pengetahuan mereka kerana kedua-dua medium ini mudah dan kerap digunakan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan maklumat.

“Kerajaan atau pihak yang berkaitan rapat dengan GST perlu bekerjasama dengan pihak media bagi menerangkan kepada rakyat khususnya di luar bandar.

“Ramai masyarakat khususnya di luar bandar masih belum faham dengan pelaksanaan GST dan ada yang masih keliru sama ada di kalangan peniaga mahupun pengguna,” katanya di sini semalam bagi menjelaskan kekeliruan mengenai GST.

Kerajaan dan pihak terbabit digesa memasang poster atau sepanduk di tepi-tepi jalan utama bagi menyenaraikan barang-barang yang dikenakan GST.

Hanya dengan ini sahaja boleh membuatkan masyarakat di kawasan luar bandar tahu akan GST dan apa yang perlu mereka lakukan.

“Ini boleh membantu dan kita tidak mahu rakyat memburukkan atau marah kepada kerajaan hanya kerana mengambil pendekatan melaksanakan GST.

“GST masih lagi dalam peringkat awal dilaksanakan dan tidak hairan kenapa masih ramai yang keliru dan tertanya-tanya apakah barang yang dikenakan GST.

“Mungkin lama-kelamaan rakyat akan mula faham mengenai GST dengan syarat hendaklah kerjasama bersama media dipergiatkan bagi membantu kerajaan menyebarkan maklumat mengenai GST,” jelasnya.

Beliau turut mengesyorkan kepada pusat beli-belah atau operator perniagaan mempamerkan tanda GST di atas barang-barang yang dijual.

Selain itu, kedai-kedai yang melaksanakan GST juga perlu memberi lambang di premis mereka bagi membolehkan orang ramai tahu kedai mereka menawarkan barang-barang dijual dikenakan GST.

“Usaha ini diharap dapat membantu orang ramai khususnya mereka dari luar bandar tahu GST. Secara tidak langsung dapat mendidik mereka,” katanya sambil mengingatkan masyarakat luar bandar jangan mudah tertipu dengan peniaga dan harus peka dengan perkembangan GST melalui media-media.