25
Rab, Nov

INDIVIDU KURANG FAHAM CUBA MEREKA-REKA KEBURUKAN GST KEPADA RAKYAT

Sarawak
Typography

SADONG JAYA – Biarpun masih ramai yang belum mengetahui mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), tetapi cubaan beberapa individu yang mereka-reka keburukan GST ini telah menimbulkan lagi kekeliruan di kalangan pengguna.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Syukri berkata, beliau kesal dengan individu terbabit yang sengaja untuk menimbulkan kekeliruan berkenaan GST biarpun diri sendiri tidak mengetahui GST.

“Masih ramai yang masih keliru akan kesan pelaksanaan GST ini terhadap kehidupan harian mereka, apa lagi dengan mereka yang menentang GST pula, inilah peluang mereka menyebarkan laporan kurang tepat dan sekaligus menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat.

“Malah, bagi yang tidak matang pula telah menggunakan emosi dan mereka-reka cerita, tetapi tidak ada usaha untuk mendapatkan ilmu untuk memahami GST,” katanya dalam mengulas mengenai kekeliruan GST yang menjadi topik utama perbualan penduduk.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, banyak contoh di negara lain yang telah membuktikan bahawa GST memberi manfaat bukan sahaja kepada negara bahkan juga kepada rakyatnya.

“Usah pergi jauh, lihatlah negara jiran kita, Singapura yang kini lebih banyak lebihan wang dan dana boleh digunakan untuk pembangunan negara itu.

“Bayangkan sebuah negara yang tidak mempunyai sumber semula jadi yang banyak seperti negara kita mampu menjadi sebuah negara yang cukup maju di dunia,” katanya sebagai mengulas keputusan Malaysia melaksanakan GST pada 1 April lepas.

Menurut Nancy, Singapura memperkenalkan GST pada kadar tiga peratus ketika awal pelaksanaannya pada 1994. Namun, begitu jumlah tersebut tidak boleh dibandingkan dengan jumlah enam peratus yang digunakan Malaysia pada awal pelaksanaan GST.

Jelasnya, atas fakta itu, ramai yang mempertikaikan jumlah peratusan tiga peratus itu dengan enam peratus di Malaysia. Ini juga disebabkan Malaysia dan Singapura berbeza daripada segi pelaksanaan GST khususnya dalam mengenakan GST ke atas barangan dan perkhidmatan.

“Berbeza dengan Malaysia, Singapura pula mengenakan GST terhadap semua barang dan perkhidmatan termasuk barang keperluan.

“Ini tidak berlaku di Malaysia kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat dengan tidak mengenakan GST ke atas makanan asas dan perkhidmatan lain seperti mana yang terkandung dalam senarai yang dikeluarkan Jabatan Kastam,” tambahnya.

Beliau memberitahu bahawa pembelian dan penyewaan rumah kediaman juga tidak dikenakan GST termasuk jual beli tanah pertanian, pendidikan, pengangkutan awam serta perkhidmatan kesihatan.

Justeru, beliau kesal dengan tindakan segelintir peniaga dan peruncit yang mengambil kesempatan dengan mengenakan GST terhadap produk sifar cukai, menaikkan harga barang untuk mendapatkan margin keuntungan yang lebih banyak.

Dalam memastikan kita tidak diperdaya dengan penipuan GST, kita harus sentiasa memperkasakan diri dengan ilmu mengenai pelaksanaan cukai baharu GST daripada sumber yang sahih dan tepat agar tiada lagi penipuan.

Rakyat juga harus sedar akan hak dan tanggungjawab kita pengguna dengan membekalkan diri ini dengan ilmu dan kemahiran supaya peniaga tidak sesuka hati mengambil kesempatan.