03
Kha, Dis

LIHAT PELAKSANAAN GST DARIPADA SUDUT POSITIF

Sarawak
Typography

KUCHING – Ketika ini rakyat dikelirukan dengan kesan negatif berhubung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bermula pada 1 April lepas khususnya di dalam media sosial dan perbualan di kedai-kedai kopi.

Keadaan ini ditambah dengan ketiadaan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kastam yang melakukan pemantauan di kedai dan gerai peniaga kecil di kampung dan kawasan luar bandar.

Akibatnya daripada 10 pengguna yang ditemui, kebanyakannya mengulas bahawa GST ini menyusahkan rakyat kerana menyebabkan harga barang naik.

Sepatutnya peniaga harus bekerjasama dengan kerajaan dalam menerangkan manfaat GST dan bukannya mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang bagi mendapatkan keuntungan berganda.

Ini kerana GST ini tidak membebankan rakyat apabila kerajaan memutuskan tidak mengenakan GST ke atas semua barangan dan perkhidmatan seperti mana di Singapura. Sebaliknya, kerajaan telah menyenaraikan banyak barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST bagi meringankan bebanan rakyat.

Hasil cukai GST sebanyak enam peratus yang dikutip daripada peniaga dan pengguna menjadi pendapatan negara dan seterusnya disalurkan untuk projek pembangunan rakyat dalam jangka masa panjang.

Mungkin, pelaksaan GST pada permulaan ini amat mengelirukan berikutan kekurangan pemahaman dan maklumat serta tiadanya pemantauan menyebabkan situasi sukar bagi kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pengguna.

GST bukanlah cukai baharu yang diamalkan di Malaysia sebaliknya ia sebagai cukai gantian kepada cukai SST yang telah digunakan sejak bertahun-tahun dahulu dalam usaha menyusun kembali struktur cukai yang lebih telus dan tersusun.

Malah, GST ini telahpun digunakan di 160 buah negara di dunia dan kebanyakan rakyat di negara tersebut menerima pelaksanaan GST yang dilihat suatu cukai yang memberi kesan positif kepada negara dan rakyat.

Untuk memastikan GST ini terus diterima rakyat, setiap di kalangan lapisan masyarakat termasuk ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum harus memahami GST dan manfaatnya.