03
Kha, Dis

SARAWAK NEGERI PERTAMA TANDATANGANI DAN IKRAR INTERGRITI

Sarawak
Typography

KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak sekali lagi mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia yang mana kesemua ahli Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak menandatangani dan melafazkan ikrar intergriti di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Lafaz ikrar integriti telah diketuai oleh Pengerusi BNBBC, Abdullah Saidol dan dilakukan di hadapan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem dan disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed dan beberapa menteri kebinet Sarawak.

Ini merupakan majlis susulan kepada langkah bersejarah yang telah diambil oleh anggota Kabinet Sarawak yang turut menandatangani ikrar intergriti yang sama pada 15 Januari lepas.

Sewaktu melaksanakan ikrar intergriti dahulu, Adenan menyifatkan pelaksanaan ini bertujuan sebagai memperkukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak di semua peringkat.

Sementara itu, Abu Kasim menyifatkan tindakan yang diambil Kerajaan Negeri Sarawak ini khususnya wakil rakyat merupakan suatu perkembangan yang positif dalam melahirkan negara yang mengamalkan intergriti.

“SPRM menyambut baik dan gembira dengan komitmen yang diberikan Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha memerangi rasuah,” kata beliau.

Tegas Abu Kasim lagi, Ketua Menteri Sarawak serius dalam mengenai intergriti dan mahu semua wakil rakyat terutama ahli-ahli BNBBC memahami apa yang beliau maksudkan mengenai intergriti.

Pada sebelah paginya, telah diadakan beberapa siri ceramah dan dialog antara peserta yang terdiri daripada ahli-ahli BNBBC dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak khususnya dalam memerangi jenayah rasuah dan cabarannya sebelum upacara menandatangani dan lafaz ikrar pada sebelah petang tadi.