25
Rab, Nov

MODEL TERBAIK UNIT FILEM DI SARAWAK AKAN DIPERLUASKAN

Sarawak
Typography

KUCHING - Unit filem di Sarawak yang bertindak sebagai pusat sehenti bagi memudahkan urusan pengusaha filem luar negara ke negeri ini akan diperluaskan ke negeri-negeri lain dalam memastikan perkembangan industri perfileman negara.

Ini dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika sidang media, Sarawak antara negeri yang pertama menyediakan kemudahan sedemikian dan adalah model terbaik untuk dicontohi negeri-negeri lain, di sini.

“Kementerian saya mengiktiraf kepentingan bagi menyediakan ‘Film Desk’ (Meja Filem) di setiap negeri.

“Dalam aspek ini, Sarawak lebih ke hadapan kerana telah pun menubuhkan pusat sehenti ini yang akan mengurangkan masalah atau rintangan bagi penggiat-pengiat filem yang ingin membuat penggambaran di sini,” ujarnya.

Inisiatif bagi menyediakan ‘Film Desk’ yang bertindak sebagai pusat sehenti bagi kemudahan dalam berurusan dengan kru perfileman itu juga perlu ditubuhkan di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini.

Menurutnya lagi, selain Sarawak, Johor turut mempunyai pusat sedemikian namun ia dilihat tidak seragam dari segi pelaksanaan dan pengurusan.

Shabery turut memberitahu, Malaysia turut menawarkan insentif kepada pembuat filem dari seluruh negara khasnya dari negara-negara ASEAN untuk melaksanakan projek mereka di mana-mana negeri dalam negara.

“Insentif filem dalam Malaysia akan ditawarkan oleh kerajaan bagi projek-projek penggambaran yang dibuat di mana-mana dalam negara,” katanya.

Beliau menekankan, lokasi-lokasi dipilih untuk penggambaran di beberapa negara jelas menunjukkan ia adalah mekanisme berkesan dalam menarik pelancong sekali gus menjana ekonomi.

Contoh terbaik ialah penggambaran filem ‘Lord of the Rings’ yang dilakukan di New Zealand dan komedi Cina ‘Lost in Thailand’ yang dirakamkan di Chiang Mai sekaligus menyumbang kepada peningkatan kedatangan pelancong dan pendapatan negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama bidang perfileman Malaysia-China dan merasmikan pameran serta seminar Filem ASEAN, China dan Korea sempena Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA), di Kompleks Pelancongan Sarawak.

Hadir sama, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden Bona Film Group Lily Jiang, Konsul Jeneral Republik China di Kuching Liu Quan dan Naib Presiden Kanan Kumpulan Youku Tudou Allen Zhu.