25
Rab, Nov

GST: 1,290 PREMIS SUDAH DIPERIKSA

Sarawak
Typography

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa 1,290 premis sepanjang Ops Bersepadu Pematuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di seluruh negeri sejak awal bulan ini.

Pengarahnya Stanley Tan memberitahu, daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 25 kes dicatatkan di bawah Akta Timbang dan Sukat, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menurutnya, pelbagai barangan telah dirampas mencecah RM5,000 telah dicatatkan sepanjang operasi tersebut sehingga semalam.

“Kita telah menerima 150 aduan dan 120 daripadanya adalah berkenaan GST di mana kita telah memeriksa 1,290 premis dan telah mengenal pasti beberapa kesalahan.

“Tujuan operasi ini adalah untuk memastikan penguatkuasaan Ops Catut dan GST dilaksanakan secara lebih intensif dan mencapai sasaran,” katanya melalui kenyataan akhbar semalam.

Selain itu, Stanley memberitahu sebanyak 51,331 premis telah diperiksa di seluruh negeri sejak Januari tahun ini sempena Ops Catut dengan mencatatkan jumlah rampasan mencecah RM40,000.

“Bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat, sebanyak 110 kes dengan nilai rampasan mencecah RM27,000 dicatatkan diikuti Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan mencatatkan iaitu sebanyak 112 kes dengan nilai rampasan sekitar RM16,000.

“Selain itu, kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999, masing-masing mencatatkan satu dan tiga kes dengan nilai rampasan RM590 dan RM212.

“KPDNKK turut mengeluarkan 30 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” jelas Stanley.

Sementara itu, tiada kes dilaporkan berhubung caj perkhidmatan sepanjang operasi tersebut yang turut disertai anggota dan pengawai dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Sebarang aduan oleh pengguna boleh disalurkan melalui talian 1-800-886-800, laman web http://eaduan.kpdnkk.gov.my atau datang terus ke pejabat KPDNKK di seluruh negeri. Sumber: Utusan Borneo