25
Rab, Nov

OPERASI BERSEPADU MELIBATKAN PELBAGAI AGENSI DIPERHEBAT: WAN JUNAIDI

Sarawak
Typography

KUCHING: Usaha menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri Sarawak akan terus diperkasa menerusi penglibatan pelbagai agensi dalam operasi bersepadu untuk membersihkan sarang mereka di negeri ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, operasi yang diketuai Jabatan Imigresen itu akan dijalankan secara berterusan sehingga negeri ini bebas daripada PATI.

Antaranya ialah polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, selain syarikat pembekal air dan elektrik dan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Mana-mana PATI yang ditangkap akan dihantar balik ke mana sahaja mereka berasal. Jika mereka sebelum ini bertapak di Sabah sebelum ke negeri ini, maka kita akan hantar mereka balik ke Sabah.

“Kerajaan negeri akan menggempur golongan pendatang asing ini berhabis-habisan kerana kita tidak mahu menjadi seperti Sabah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Menangani Isu PATI dan Pemerdagangan Orang Sempadan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Datu Robert Lian dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong turut menyifatkan jumlah PATI di negeri ini sebagai ‘amat besar’ dengan anggaran kasar kira-kira 350,000.

Beliau menambah, bagaimanapun, jumlah itu belum dapat disahkan dan hanya berdasarkan laporan perisikan.

Katanya, tindakan tegas seperti meroboh rumah serta memotong bekalan air dan elektrik juga akan diambil sekiranya PATI didapati masih berkampung di negeri ini.

“Kita mahu memberi mesej ini lebih awal bahawa kita tidak mahu pendatang asing untuk bertapak di negeri ini lagi,” katanya sambil menambah, laporan operasi juga perlu dikemukakan setiap minggu bagi memastikan agensi-agensi berkaitan menjalankan tugas.

Wan Junaidi turut menyentuh mengenai kehadiran pendatang asing di Miri adalah berikutan insiden Lahad Datu di Sabah beberapa tahun lepas.

Beliau pada sama sama menyeru kerjasama masyarakat untuk membantu usaha kerajaan dalam membanteras masalah itu sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Wan Junaidi turut mengingatkan para peladang, pengusaha restoran dan lain-lain agar tidak mengambil jalan mudah dengan mengambil PATI bekerja hanya kerana tidak mahu membayar lebih.

Setakat ini, lebih 100 PATI ditangkap di seluruh negeri.

Sumber: Utusan Borneo