25
Rab, Nov

TIADA PENDUDUK LUAR BANDAR MENGADU TERBEBAN GST

Sarawak
Typography

MIRI: Dakwaan penduduk luar bandar terbeban akibat pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah tidak tepat dan hanya dakwaan liar pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata beliau baharu balik melawat beberapa kawasan dan tiada penduduk mengadu secara peribadi tertekan akibat GST.

“Penduduk luar bandar masih menjalani kehidupan seperti biasa dan secara peribadi belum ada mana-mana pihak tampil mengadu terbeban akibat pelaksanaan GST,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, dakwaan pembangkang itu adalah tidak berasas kerana beliau sendiri turun ke kawasan pedalaman dan mengenali corak kehidupan penduduk.

“Bagi mereka, GST bermaksud ‘Golongan Susah Tertindas’ sebaliknya belum mana-mana pihak atau rakyat kawasan luar bandar menerima tempias teruk akibat pelaksanaan GST seperti didakwa,” katanya

Dennis berkata rakyat perlu memahami matlamat sebenar kerajaan memperkenalkan GST yang terbukti memberi manfaat kepada 165 negara.

“Adalah amat penting rakyat memahami manfaat dan kesan pelaksanaan GST dan bukannya terpengaruh dengan ideologi pihak yang membantah,” katanya.

Mengulas mengenai pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Dennis berkata Pejabat Daerah Marudi sedang merangka persiapan mengagihkan bantuan itu kepada penerima yang layak.

Bagi penduduk luar bandar yang tidak mempunyai akaun bank, satu majlis pengagihan BR1M diadakan dalam tempoh terdekat bagi mengagihkan bantuan untuk kelompok pertama.

Sehubungan itu, penduduk luar bandar tidak perlu bimbang atau risau tidak menerima wang berkenaan kerana persiapan mengagihkan wang kepada mereka sedang dilakukan.

“Penerima BR1M di kawasan luar bandar perlu bersabar kerana kerajaan sedang menjalankan proses pengagihan secara berperingkat-peringkat dan mengikut giliran,” katanya. Sumber: Utusan Borneo