20
Ahd, Sep

Dokumen Khazanah Bahasa, Sastera Etnik Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING: Khazanah bahasa dan sastera etnik yang unik di Sarawak perlu didokumenkan untuk tatapan generasi akan datang.

 

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, karya seperti itu sekiranya tidak dilestarikan akan hilang ditelan zaman.

 

“Ia wajar didokumentasikan sebagai warisan negeri ini atau ia akan hilang begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

 

Fatimah turut memuji usaha DBP dalam penerbitan hasil kajian bahasa-bahasa etnik Sarawak iaitu Daftar Kata Bahasa Melanau Dalat – Bahasa Melayu dan Daftar Kata Bahasa Tatau – Bahasa Melayu, menjadikan jumlah daftar kata yang telah diterbitkan setakat ini sebanyak sembilan.

 

“Di Sarawak kita mempunyai banyak kumpulan etnik dan kita berharap Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri dapat membantu menerbitkan lebih banyak daftar kata,” katanya.

 

DBP turut menerbitkan hasil kajian bidang sastera dan budaya etnik Sarawak seperti Cerita Rakyat Sarawak (Toponimi lisan asal-usul nama kampung di bahagian Kuching dan Samarahan), Jampi Mantera Etnik Sarawak (Melayu, Melanau, Bidayuh, Iban dan Kedayan) serta Zikir Burdah.

 

“DBP menerima peruntukan sebanyak RM125,000 di mana mereka berupaya menghasilkan kesemua lima penerbitan ini,” katanya.

 

Projek penerbitan berpakej kearifan tempatan Sarawak merupakan projek dilaksanakan DBP Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri dengan bantuan agensi kerajaan lain bagi menyelidik, mengumpul, mendokumentasikan bahan-bahan bagi rujukan masyarakat dalam dan luar negeri.

 

Agensi terlibat adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Institut Pendidikan Guru, Muzium Sarawak, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri dan lain-lain.

 

Fatimah seterusnya turut menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Perniagaan Fotografi Sarawak yang diketuai oleh Timbalan Pengerusinya Andy Kiing.

 

Kiing berkata, persatuan yang baharu didaftarkan pada 14 Jun itu, mempunyai 22 perniagaan fotografi di bawahnya, bagi berkongsi pengalaman dan saling membantu memandangkan perniagaan itu kini semakin berdaya saing.

 

“Kami turut menyebar kesedaran mengenai fotografi di kalangan pelajar sekolah dan pelajar universiti mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam fotografi,” katanya. -UB-

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.