19
Jum, Apr

Pesta Gudi Sarawak 2015 Edisi Ke-7

Sarawak
Typography

BINTULU: Penganjuran aktiviti-aktiviti sosial tidak seharusnya diketepikan dalam usaha mewujudkan suasana kehidupan lebih gembira kepada penduduk meskipun bahagian Bintulu menawarkan banyak peluang kerja dan perniagaan.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata usaha Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menganjurkan Pesta Gudi adalah langkah terbaik menarik minat penduduk terhadap pelbagai aktiviti sosial.

Jelasnya, ramai yang mengambil bahagian dalam aktiviti itu dengan acara kemuncaknya Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu (BIKF) turut menarik penyertaan banyak negara luar.

“Teruskan aktiviti ini memandangkan pesta ini ada kelebihan untuk Bintulu mewujudkan masyarakat gembira dengan tidak hanya menumpukan bandar ini sebagai tempat mencari nafkah (kerja) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Gudi Sarawak 2015 Edisi Ke-7 anjuran BDA, Pejabat Residen Bahagian Bintulu, Bintulu Kite Flyer (BKF) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu semalam.

Turut hadir Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi, Timbalan Residen Bintulu Richard Michael Abunawas, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir dan Temenggung Abang Suhaili Abang Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu berkata, penganjuran pesta ini merupakan peluang besar menjadikan Bintulu sebagai sebuah bandar mesra serta mampu membantu mengukuhkan silaturahim melalui penglibatan penduduk.

“Saya gembira mendengar niat pengurus besar (BDA) yang ingin meningkatkan penglibatan masyarakat setempat dengan BDA dalam pelbagai aktiviti sosial yang dianjurkan.

“Saya yakin kalau niat meningkatkan perkhidmatan terus diperkasakan maka yang lain menyusul kemudian.

“Bukan hanya berjanji sahaja, tetapi terus mengambil tindakan sekali gus merubah keadaan secara beransur-ansur,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh usaha BDA dalam kerja-kerja mengatasi banjir kilat di sini yang berlaku saban tahun memerlukan sokongan dan galakan daripada masyarakat tempatan.

“Tindakan pasti tidak berkesan daripada mana-mana pihak sekiranya tidak mendapat sokongan,” katanya sambil menasihati pihak-pihak tertentu agar tidak hanya sekadar mengkritik dan menunggu pihak berkuasa bertindak mengatasi masalah.

Katanya dalam penjagaan kebersihan, masyarakat sewajarnya mengamal kesedaran sivik tinggi agar tidak membuang sampah dan sisa buangan ke dalam longkang sesuka hati.

Pelbagai acara memeriahkan pesta itu seperti pertandingan gudi putus tali individu tertutup Sarawak, senamrobik, sepak takraw, street soccer, karnival permotoran, tarik tali, ekspo mini jabatan-jabatan kerajaan dan swasta. -UB-