19
Jum, Apr

Usahakan Tanah Dengan Tanaman Datangkan Hasil - Ahmad Lai

Sarawak
Typography

MIRI: Usahakan tanah dengan tanaman yang mendatangkan hasil, bukan dimiliki untuk dijual tanpa memikirkan masa depan keluarga.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang mahu pemilik tanah rajin mengusahakan tanah mereka dengan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan kemudiannya boleh dinikmati dan diwarisi keluarga mereka.

“Jangan kita jual tanah. Fikirkan anak cucu cicit kita. Mereka juga boleh menumpang di tanah kita miliki,” katanya ketika merasmikan Pesta Buah-Buahan Sibuti di gelanggang serba guna Bekenu di sini semalam.

Mengulas isu tanah, Ahmad Lai berkata sesetengah pihak gemar menggunakan isu berkenaan untuk menarik perhatian umum dan sokongan.

Selain memburukkan nama orang lain, tuduhan tanpa bukti kukuh tidak menyelesaikan isu yang dibangkitkan.

“Jika hendak berpolitik, kita harus berpolitik secara baik. Bukan tuduh- menuduh,” jelasnya.

Tentang pesta buah-buahan itu, Ahmad Lai berharap aktiviti itu terus dianjurkan dalam usaha mempromosi buah-buahan tempatan di Sibuti.

Antara buah-buahan popular dari Sibuti ialah durian, rambutan, langsat, manggis, cempedak dan terap.

Aktiviti dua hari itu disertai 100 gerai, 13 agensi dan 50 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari Niah dan Bekenu.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat, Pemangku Pegawai Daerah Miri merangkap Pengerusi Majlis Daerah Subis Sharifah Rafidah Wan Razali. -UB-